Esok
Untuk kesekian kali esok,
Aku berharap ada sinar di hujung jalan,
Aku bersabar sehari lagi,
Moga esok lebih indah dari hari ini
Untuk kesekian kali esok,
Aku sujud tunduk,
Lalu berpeluk tubuh menahan sejuk,
Moga esok,
Matahari terbit dari timur ufuk,
Mencair bekunya hati,
Memanas kembali semangat nurani
Untuk kesekian kali esok,
Yang hilang dalam kiraan,
Barangkali,
Hanya dibibir jadi ucapan,
Di khayal dalam fikiran,
Menjadi jeda segala lelah perasaan,
Cukup, untuk menghela satu nafas lagi,
Dan hidup,
Untuk satu hari lagi,
Satu hari sahaja lagi.
Untuk kesekian kali esok,
Aku bertahan untuk Esok yang hakiki,
Esok yang tak perlu dihitung lagi,
Esok...
Di mana bila akhirnya ia kekal abadi
InsyaAllah
Janji Tuhan itu pasti
Atas nama Tuhan
Pemilik esok yang telah pergi
Dan esok yang belum tiba lagi
Aku berharap
Saat tiada lagi esok untuk diri ini
Moga Tuhan redhai
Moga puas aku nikmati hari ini
Agar esok
Tiada lagi penyesalan di hati
Tiada lagi jiwa-jiwa yang meragui
Kerana janji Tuhan itu pasti
Benar-benar pasti
Untuk kesekian kali esok,
Moga Tuhan hitung kesabaran ini.
Setiap langkah kaki,
Walau terpaksa tapi digagahi,
Setiap hela nafas,
Walau lemas tetap lepas
Setiap baris senyuman,
Tetap nyaman walau beban,
Dan untuk setiap jiwa,
Tetap cinta walau seksa
Untuk kesekian kali esok,
Untuk segala kontradiksi yang lapuk,
Esok.
InsyaAllah.
Esok
Ins
20220108
Comments
Post a Comment